Source: Sinar Harian

MCT Berhad (MCT) telah melancarkan Alira, projek kediaman pegangan bebas terbarunya yang dibangunkan di kawasan seluas 22.4 hektar yang terletak di kawasan perbandaran Metropark, Subang.

Ketua Pegawai Eksekutif MCT, Teh Heng Chong berkata, sejak pembelian projek kediaman itu dibuka pada suku kedua pada tahun ini, jualan projek berkenaan telah mencapai 40 peratus dan majoriti pembeli telah membeli unit rumah bersaiz besar dan vila bertingkat rendah.

“Kami menyasarkan pembeli yang berumur lingkungan 25 ke 50 tahun termasuk pembeli rumah kali pertama, golongan profesional muda, pasangan muda, pelabur serta pembeli dari kawasan sekitar.

“Alira menawarkan kediaman gaya resort dalam kawasan Central Park seluas 3.68 hektar dan ‘water spine’ yang diilhamkan oleh Sungai Yarra di Melbourne, Australia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau optimis keyakinan orang ramai terhadap jenama MCT yang telah membangunkan produk berkualiti untuk komuniti setempat.

“Ini selaras dengan visi baharu syarikat kami iaitu Innovative, Timeless Value Creator. Pandemik Covid-19 telah mengubah gaya hidup kita dan pembeli kini mencari rumah yang lebih luas dan kemudahan yang menarik sesuai dengan keseimbangan kerja dan kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran MCT, Chee Kok Keong berkata, fasa satu pembangunan Alira yang merangkumi 492 unit dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM316.2 juta.

“Harga bermula RM493,800 dan saiz antara 64.6 hingga 92.7 meter persegi untuk unit pangsapuri bertingkat tinggi manakala bermula RM752,800 untuk vila edisi terhad bertingkat rendah bersaiz kira-kira 97.4 meter persegi.”